Hubungan intim yang berkesan adalah sesuatu yang menjadi keperluan bagi setiap pasangan. Melalui hubungan intim yang sihat dan selamat, setiap pasangan akan memperoleh manfaat baik dari dudut kesihatan fizikal, mental dan kesinambungan zuriat. Namun demikian, tidak semua orang memiliki pengalaman yang bahagia apabila bercakap soal hubungan intim. Salah satu permasalahan dalam kalangan wanita yang biasa dijumpai adalah keadaan yang dikenali sebagai VAGINISMUS.
Apa itu vaginismus?
‘Doktor, saya kerap sakit ketika bersama suami di malam hari. Hubungan kami menjadi serba tidak menjadi kerana masalah yang saya alami…’
Pernahkan kita menghadapi permasalahan seperti diatas? Ada pelbagai faktor yang menyebabkan seorang wanita boleh merasa sakit ketika hubungan kelamin. Untuk artikel ini, saya akan kecilkan skop ulasan kepada satu topik yang dikenali sebagai vaginismus. Secara ringkasnya, vaginismus ini berlaku dimana apabila seorang wanita yang ingin melakukan hubungan kelamin/memasukkan sesuatu kedalam vagina namun menghadapi kesukaran untuk melakukannya. Seorang wanita boleh menghadapi kekejangan otot di bahagian ‘pelvic floor’ dan merasa sakit ketika penetrasi berlaku ataupun sebelum penetrasi berlaku.
Bilakah seseorang wanita boleh mengetahui samada dia menghadapi masalah vaginismus ini?
Dalam kebanyakan kes, vaginismus ini hanya diketahui apabila seseorang wanita yang sudah berkahwin cuba melakukan hubungan intim dengan pasangan buat pertama kali. Keadaan ini selalunya berlarutan lamanya jika kaedah rawatan tidak dilakukan. Selain itu, terdapat segelintir wanita yang boleh mengetahui mereka memiliki masalah vaginismus ini sebelum berkahwin seperti wanita yang melakukan hubungan intim sebelum berkahwin dan wanita yang menggunakan tampon untuk masalah haid mereka. Bahkan, terdapat juga dikalangan wanita yang awalnya tiada masalah dalam hubungan kelamin namun menghadapi masalah vaginismus ini setelah beberapa tahun bersama pasangan.
Punca kepada masalah vaginismus
‘Kehidupan saya normal, tiada masalah kesihatan, tiada sejarah penderaan masa lalu dan tidak pernah bersama mana-mana lelaki’
Sehingga ke hari ini, punca kepada masalah vaginismus ini adalah tidak diketahui. Namun demikian terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan seseorang mudah berasa sakit ketika hubungan intim. Antaranya adalah:
- Kekeringan di bahagian vagina (vaginal dryness): situasi biasa bagi wanita yang selepas melahirkan anak dan menopause
- Masalah kesihatan seperti jangkitan kuman/yeast infection, pelvic inflammatory disease, masalah anxiety
- Rawatan kemoterapi dan radioterapi
- Trauma pada kejadian masa lalu seperti penderaan, hubungan intim yang tidak disenangi.
Rawatan untuk masalah vaginismus
‘Kerana masalah ini, saya merasakan hubungan dengan pasangan semakin renggang…’
Untuk menghadapi masalah ini, perkara pertama yang anda boleh lakukan adalah berkongsi dengan pasangan anda tentang apakah sebenarnya yang sedang berlaku. Pasangan yang baik sudah tentu akan membantu anda untuk keluar daripada masalah ini dengan cara yang selamat dan berkesan. Salah satu cara yang baik adalah berjumpa dengan doktor yang biasa berdepan dengan permasalahan vaginismus ini.
Antara kaedah rawatan yang bersesuaian untuk merawat masalah ini adalah:
- Penggunaan topical krim: krim ini boleh digunakan bagi mengurangkan rasa sakit ketika penetrasi sedang berlaku.
- Terapi seperti ‘relaxation technique’ dan ‘cognitive behaviour therapy’
- Senaman tertentu yang boleh menguatkan otot di bahagian ‘pelvic floor’
- Vaginal dilator: alat yang boleh digunakan untuk membantu otot di bahagian vagina lebih relax ketika proses penetrasi berlaku. Terdapat pelbagai saiz yang disediakan bermula dengan saiz kecil sehingga saiz yang besar bagi membolehkan penetrasi berlaku secara tenang tanpa tekanan.
Terdapat juga mereka yang bertanya jika masalah ini boleh dielakkan. Sehingga ke hari ini, kajian masih tidak dapat membuktikan punca berlakunya masalah vaginismus ini. Oleh sebab itu, tiada langkah efektif yang boleh dilakukan oleh wanita bagi mengelakkan masalah vaginismus ini berlaku pada masa akan datang.
Jika anda memiliki masalah vaginismus ini, anda boleh hadir ke Universal Clinic untuk mendapatkan sesi konsultasi lanjut dengan doktor seterusnya mendapatkan nasihat dan rawatan terbaik bagi merawat masalah vaginismus.